Tuesday, October 28, 2008

DBP gesa Kerajaan Pulau Pinang hormati bahasa kebangsaan

SEREMBAN: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggesa Kerajaan Pulau Pinang supaya menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dalam melaksanakan tambahan bahasa di papan tanda nama jalan di beberapa jalan tertentu di Georgetown.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Kamarul Zaman Shaharudin, berkata tindakan kerajaan pimpinan DAP yang membenarkan tambahan bahasa seperti tulisan jawi, Tamil dan Cina jelas tidak menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan.

"Pada pandangan DBP, dua bahasa sudah memadai digunakan di setiap papan tanda nama jalan iaitu bahasa Melayu yang sepatutnya difahami oleh setiap warga Malaysia dan bahasa Inggeris untuk tujuan pelancongan.

Tindakan kerajaan Pulau Pinang untuk menambah bahasa di setiap papan tanda bukan saja tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan tetapi juga boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai kerana terlalu banyak bahasa hingga menyebabkan tulisannya kecil dan kurang jelas," katanya kepada pemberita pada perasmian Hari Semarak Bahasa Peringkat Kebangsaan Sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 di Dewan Perbandaran Seremban, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memasang papan tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi atas tujuan warisan di beberapa jalan tertentu di Georgetown.

No comments: