Tuesday, October 28, 2008

Agar diri dicintai

FITRAH kehidupan, manusia memiliki sifat-sifat yang dikagumi sehingga membuatkan diri mudah didampingi dan disanjung tinggi oleh insan lain.

Setiap perkara yang ditempuhi dalam rutin kehidupan mematangkan fikiran.
Dengan tutur kata yang sopan, bijak berkomunikasi dan mempunyai pemikiran yang matang, sememangnya menjadi pakej diri kamu disenangi ramai. Kongsi tip agar diri mudah dicintai.

* Positif
Menerusi buku The Secret, terbitan Rhonda Byrne, setiap perkara baik seharusnya bermula dengan sikap positif. Mula berprasangka baik terhadap insan lain sehinggalah membuatkan diri kamu sentiasa berfikiran positif walau apa jua perkara yang dilakukan.
Sikap positif itu akan terpancar umpama daya tarikan magnet, yang akan menarik orang di sekeliling untuk mendekati diri kamu.

* Ceria
Berada berhampiran dengan orang yang memiliki sifat periang sememangnya membuatkan diri kamu lupa sejenak bebanan masalah yang bersarang di kotak fikiran. Kehadiran si penceria senantiasa dinanti-nantikan. Di saat kamu tersenyum, tubuh akan merangsang hormon yang dapat menghilang stres.
Jadi, sentiasalah tersenyum untuk menikmati perasaan ceria.

* Ramah
Saat bertemu dengan insan yang baru dikenali, mereka yang memiliki sikap ramah tidak akan berasa ragu untuk melemparkan senyuman mahupun menyapa.
Sikap ramah biasanya mendatangkan kesan positif kerana ia akan membuatkan orang yang bersemuka dengan kamu berasa dirinya diterima dan dihargai.
Jangan ragu untuk mengawal interaksi dengan orang lain. Mula berlatih berbicara secara langsung menerusi talian telefon dengan orang lain, jika impikan keramahan itu.

* Ringan tangan
Kualiti seorang rakan akan dinilai menerusi bantuan yang dihulurkan. Jangan menunggu permintaan seseorang dalam mengharapkan bantuan.
Jika berada dalam posisi tersebut, kamu tentunya mudah menawarkan bantuan saat mereka memerlukan.

* Rendah hati
Berbeza dengan sikap rendah diri yang merupakan suatu kelemahan, rendah hati mengungkapkan satu kekuatan yang ada pada diri. Hanya orang yang kuat jiwanya sahaja yang bersikap rendah hati. Ia seperti padi yang semakin berisi, makin menunduk.

* Percaya diri
Orang yang mempercayai diri sendiri kebiasaannya sering merasakan dirinya nyaman dan tidak pernah berasa dirinya terancam dengan situasi atau orang-orang di sekeliling. Itu bermakna, aura tenang akan terpancar dari dalam dirinya sehingga mampu menarik perhatian orang di sekeliling. Dalam dunia ini, tiada seorang pun yang memiliki sifat serupa dengan yang lain. Jadi, jangan ragu untuk menampilkan keunikan diri kamu itu.

* Pemaaf
Dendam dan iri hati adalah salah satu ciri penyakit hati yang begitu kronik dan sering datang menyerang.
Selain dapat mencemar hubungan, penyakit ini juga akan membuat perasaan kamu menjadi tidak nyaman.
Seseorang yang lapang hati akan sentiasa merasa bahagia. Jangan hanya mengangguk ketika menerima ungkapan maaf dari orang lain. Lebih penting, kamu seharusnya menghapus segala kesalahan tersebut dari benak fikiran dan hati kamu.

* Jujur
Kata orang, harga kejujuran lebih mahal daripada emas. Cuba bayangkan bagaimana sekiranya teman kamu hobinya adalah bohong. Selain akan menimbulkan salah faham, ia juga akan merugikan orang lain. Maknanya, jangan hairan apabila orang jujur dicintai semua orang.

****Orang yang dicintai adalah peribadi yang disenangi, dirindui dan membuatkan orang lain bahagia saat berada di sisinya. =)

DBP gesa Kerajaan Pulau Pinang hormati bahasa kebangsaan

SEREMBAN: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggesa Kerajaan Pulau Pinang supaya menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dalam melaksanakan tambahan bahasa di papan tanda nama jalan di beberapa jalan tertentu di Georgetown.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Kamarul Zaman Shaharudin, berkata tindakan kerajaan pimpinan DAP yang membenarkan tambahan bahasa seperti tulisan jawi, Tamil dan Cina jelas tidak menghormati Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan.

"Pada pandangan DBP, dua bahasa sudah memadai digunakan di setiap papan tanda nama jalan iaitu bahasa Melayu yang sepatutnya difahami oleh setiap warga Malaysia dan bahasa Inggeris untuk tujuan pelancongan.

Tindakan kerajaan Pulau Pinang untuk menambah bahasa di setiap papan tanda bukan saja tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan tetapi juga boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai kerana terlalu banyak bahasa hingga menyebabkan tulisannya kecil dan kurang jelas," katanya kepada pemberita pada perasmian Hari Semarak Bahasa Peringkat Kebangsaan Sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2008 di Dewan Perbandaran Seremban, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memasang papan tanda nama jalan dalam tulisan jawi, Tamil dan Cina bagi atas tujuan warisan di beberapa jalan tertentu di Georgetown.

Sunday, October 26, 2008

Diet Barat punca penyakit jantung

Diet Barat membabitkan makanan bergoreng, makanan ringan bergaram dan daging menyumbangkan kepada 35 peratus penyakit jantung di seluruh dunia.

Kajian penyelidik di 52 negara menunjukkan mereka yang makan diet Barat berasaskan daging, telur dan makanan ringan lebih berisiko mendapat serangan jantung, manakala makan lebih buah dan sayur mempunyai risiko lebih rendah.

Kajian itu menyokong penemuan sebelum ini bahawa makanan ringan dan lemak haiwan sebabkan sakit jantung.

Dr Salim Yusuf dari Universiti McMaster di Ontario, Kanada dan rakannya sudah menyoal lebih 16,000 pesakit dengan 5,700 daripada mereka mendapat serangan jantung pertama.

Mereka terbahagi tiga kumpulan iaitu pertama dilabel oriental kerana kaya dengan taufu dan soya serta sumber lain," kata penyelidik yang menulis laporan disiarkan jurnal Circulation.

"Faktor kedua western kerana mengandungi makanan bergoreng, makanan ringan bergaram dan pengambilan daging manakala faktor diet ketiga dilabelkan prudent kerana kaya dengan buah dan sayur."

Mereka yang makan lebih banyak buah dan sayur mempunyai 30 peratus risiko rendah untuk diserang penyakit jantung.

Kelompok yang makan diet Barat berisiko serangan jantung 35 peratus. Peserta diet oriental mempunyai risiko secara purata diserang sakit jantung. - Reuters

Makanan Segera Membahayakan Kesihatan


Tahukah anda kebanyakan restoren makanan segera melalui kaedah penggorengan (fry atau deep fry) macam KFC, McDonald dan sewaktu dengannya menggunakan minyak yang mengandungi trans-fat??

Trans-fat menyumbang kepada kegemukan/obesity malah boleh menyumbatkan saluran darah yang boleh menyebabkan sakit jantung. Ia juga menambahkan paras kolestrol tidak baik (bad LDL) yang menjadi punca kepada pelbagai kecelaruan kesihatan termasuk serangan sakit jantung dan kanser. Walaupun usaha dilakukan untuk mengurangkan penggunaan minyak yang lebih sihat (sudah tentu lebih mahal!!!) tetapi mereka masih tidak dapat membuang minyak hydrogenated kononnya tiada pilihan.

Meskipun begitu membuang lemak trans tidak bermakna makanan goring segera akan menyihatkan kerana ia masih mengandungi acrilamid (acrylamides) suatu bahan kimia beracun yang terhasil semasa masakan ‘high heat’ yang boleh menyebabkan pelbagai jenis kanser. Jadi bagaimana dengan goring pisang yang menggunakan minyak yang diguna berulangkali lebih dari tiga kali (sudah tentu!!) yang menjadi kegemaran abuyya dan juga anda?? Marilah kita mengubah cara memasak kita..biasakan dengan masakan yang kurang berminyak!!
DIANGGARKAN setiap tahun satu pertiga penduduk dunia atau kira-kira 17 juta orang mati berikutan masalah jantung. Gaya hidup tidak sihat termasuk corak pemakanan tinggi kolesterol dan kurang bersenam adalah pemangkin utama selain faktor salasilah keluarga yang mempunyai penyakit jantung.

Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Haizal Haron Kamar, berkata statistik menggerunkan itu secara tidak langsung menunjukkan setiap individu berpotensi menghidap penyakit ini tetapi masih belum terlewat untuk mengambil langkah pencegahan.

Beliau berkata, biarpun jantung manusia hanya sebesar segenggam tangan orang dewasa, ia organ terpenting dan sentiasa bekerja keras sepanjang masa bagi mengepam darah untuk disalurkan ke seluruh tubuh malah jika fungsinya terganggu keseluruhan sistem badan akan terjejas.

"Jantung manusia berdenyut 70 kali setiap minit atau 140,000 kali sehari. Kepentingan jantung tidak boleh diambil mudah.

"Antara penyakit jantung adalah kardiovaskular merujuk masalah jantung dan saluran darah apabila kedua-duanya gagal berfungsi dengan baik. Jantung koronari pula berlaku apabila saluran yang membekalkan darah ke jantung dan otak (arteri) tersumbat atau rosak. "Semua gejala ini mungkin tidak disedari namun bukan bermakna ia berlaku secara tiba-tiba. Pada masa sama masih ramai membuat tanggapan diri terhindar dari penyakit itu dengan alasan ibu bapa mereka bukan pesakit jantung. Biar apa jua alasan, kesedaran dan tahap kesihatan perlu ditingkatkan," katanya.

Beliau berkata, jika melihat semula statistik, penyakit jantung adalah pembunuh utama penduduk di negara ini dan jumlah pesakit tidak pernah berkurangan sejak dua dekad lalu. Malah, katanya kematian disebabkan penyakit ini lebih tinggi berbanding kanser dan wanita juga perlu berwas­pada, barah bukan lagi pembunuh utama, sebaliknya penyakit jantung. Walaupun ramai beranggapan penyakit ini tiada simptom, Haizal berkata, ciri umum yang mudah dikenal pasti bagi menilai tahap kesihatan jantung individu ialah mudah lesu, dada terasa sesak hingga menghadapi kesukaran bernafas, aktiviti semakin terhad serta buku lali membengkak.

Jika individu mempunyai tanda begini khususnya perokok, mereka perlu segera mendapatkan pemerik­saan. Biarpun jika selepas pemeriksaan ia bukan disebabkan jantung berma­salah, individu terbabit masih perlu mengutamakan kesihatan kerana ia mungkin petanda awal penyakit lain.

"Sebarang masalah kesihatan perlu dirujuk kepada mereka yang arif. Setiap perubahan mendadak berkaitan tugasan jantung boleh memberi reaksi kepadanya. "Sebagai contoh, jika tekanan darah naik, bermakna jantung terpaksa bekerja lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan dan ini bermakna jantung yang bekerja daripada sepatutnya akan menyebabkan kegagalan jantung. Justeru, perubahan tekanan darah harus diawasi," katanya.

Mengenai atherotrombosis atau darah membeku di atas plak iaitu lapisan lemak di dinding salur darah yang pecah, pembekuan menyekat pengaliran darah seterusnya mengakibatkan serangan jantung (jika berlaku pada salur darah ke jantung) atau strok (jika saluran darah ke otak terhalang).

Katanya, atherotrombosis adalah penyebab kematian utama di negara ini dengan statistik sebanyak 28 peratus kematian yang dilihat lebih tinggi berbanding kanser atau penyakit berjangkit lain. Masalah lain berkaitan jantung adalah strok iskemia (aliran darah yang tidak mencukupi ke otak), serangan jantung, sindrom koronari akut dan kerosakan pembuluh darah.
Haizal berkata, walaupun setiap individu berpotensi menghadapi masalah ini, situasi berkenaan masih boleh diubah. Bagi penyakit jantung, terdapat dua faktor risiko iaitu aspek yang boleh dikawal manakala faktor lain adalah yang tidak boleh diubah iaitu jantina, usia, bangsa dan genetik.

Bagi faktor jantina, usia, bangsa dan sejarah keluarga, lelaki berumur melebihi 45 tahun atau wanita berumur melebihi 55 tahun yang mempunyai sejarah keluarga diserang sakit jantung mempunyai potensi besar. Begitupun, belum terlewat jika mereka terus mengamalkan gaya hidup sihat.

Antara faktor yang mampu dikawal sendiri oleh individu pula ialah tahap kencing manis, paras kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi, kekurangan aktiviti fizikal atau bersenam, menghadapi masalah berat badan berlebihan dan obesiti, pola pemakanan tidak seimbang serta merokok.

"Sering juga dikejutkan dengan kematian pada usia muda. Perlu diingat, serangan jantung tidak mengenal usia. Faktor genetik harus diberi perhatian. Walau apa pun alasan, soal pemakanan dan aktiviti riadah tidak boleh dipandang ringan. Kaedah pencegahan terbaik ialah mengurangkan berat badan berlebihan melalui amalan pemakanan seimbang dan senaman konsisten.

"Tempoh menjalani ibadah berpuasa ini juga boleh digunakan untuk kembali semula ke bentuk badan yang menyihatkan. Sambil beribadah, kita dapat mengurangkan lemak atau kolesterol berlebihan yang memudaratkan kesihatan. Setiap individu pula harus mempunyai tahap kesedaran sendiri dengan bertemu doktor," katanya.

Fakta: Individu yang harus segera dapatkan pemeriksaan doktor
Lelaki berumur 35 tahun ke atas dan perempuan berumur melebihi40 tahun.
Mengalami masalah berat badan berlebihan (tujuh kilogram dan lebih berbanding berat badan unggul).
Mempunyai keraguan terhadap status kesihatan diri sendiri.
Ada sejarah keluarga yang menghidap sakit jantung.
Tidak pernah bersenam atau tidak bersenam secara tetap.

Tahlil bukan bidaah

Tahlil bukan bidaah
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my

MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil.

Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam.

Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu.

“Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya.

Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.

“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya.

Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama.

Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui.

“Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah.

“Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya.

Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu.

Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda.

Tahlil arwah:

Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)

Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.” Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.

Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu.

HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi.

Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan.

Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar.

Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.

Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).

Terapi solat

Terapi solat
Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir. Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.