Sunday, July 12, 2009

Solat duha sebagai roh rezeki

REZEKI melimpah, halal dan berkat adalah dambaan atau keinginan setiap orang, apatah lagi disertakan dengan kedudukan yang mulia dan ilmu yang bermanfaat.

Namun untuk mencapai kenyataan itu bukanlah mudah. Ini kerana wang yang melimpah dan kedudukan yang tinggi bukanlah sesuatu yang dapat membawa serta menjamin keberkatan hidup yang sejati.

Ini membuktikan rezeki yang melimpah tidak menjamin kehidupan yang berkat. Rezeki yang melimpah juga tidak menjamin hidup yang harmoni, bahagia dan tenang.

Allah berfirman: Sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya tentulah mereka melampaui batas pada muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran tertentu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hamba-Nya. (asy-Syura: 27)

Kita sering melihat orang yang diberi rezeki yang melimpah tetapi menggunakan kekayaan mereka bagi mengingkari Allah, membelanjakan pada jalan sesat dan digunakan bagi mencari tempat di neraka. Bukankah itu kebodohan yang nyata?

Sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya memakan rezeki yang baik dan jangan mengikut jejak syaitan. Sesungguhnya, syaitan adalah musuh yang nyata.

Rezeki yang halal dan berkat dapat membawa manusia menuju ketenteraman hati. Ia juga dapat membawa kemuliaan di sisi Allah. Insya-Allah, kita dapat mencapainya dengan mengerjakan solat duha.

Solat Duha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki yang diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga.

Hal ini telah dijelaskan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Nabi pernah berwasiat kepada sahabat terdekatnya iaitu Abu Dzar al-Ghifari supaya melaksanakan solat Duha, solat Witir dan puasa tiga hari dalam setiap tengah bulan.

Kekasihku Muhammad berwasiat kepadaku supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Abu Hurairah)

Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa solat duha dilakukan bukan semata-mata mengharapkan rezeki, ia dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Yang pasti, solat duha menambah amal soleh. Malah Allah turut akan mengampunkan dosa-dosa kita, seandainya ia dikerjakan secara istiqamah.

Lantaran itu, kekuatan spiritual yang terdapat dalam solat ini mempengaruhi kepentingan duniawi dan ukhrawi. Secara tidak langsung, ia memenuhi dua aspek iaitu kepentingan bagi kejayaan di dunia dan kebahagiaan

di akhirat kelak.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad SAW banyak menganjurkan amalan solat duha ini. Bertepatan dengan seruan itu, PTS Millennia Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan buku berjudul Magnet Rezeki dengan Solat Duha yang telah diterjemahkan daripada buku Menyingkap Mukjizat Shalat Dhuha karya Muhammad Mokhtar.

Buku ini memotivasikan kita agar tidak sahaja kaya wang tetapi pada masa sama membina kekayaan jiwa demi kebahagiaan di sana.

Ia juga membongkar rahsia memperoleh rezeki yang melimpah-ruah melalui wahana solat duha. Ia membuka perspektif baru mengenai rezeki dan kekayaan bagi seorang Muslim.

Disokong dengan bukti-bukti yang menjelaskan bahawa melalui solat duha yang istiqamah, sesiapa sahaja mampu memperoleh rezeki yang berganda dan diberkati.

Thursday, July 2, 2009

Blaus terkini.. rm36 termasuk kos penghantaran ke seluruh pelusuk Malaysia..




Cepat! Cepat! Hanya rm35 termasuk kos penghantaran..
hanya dua warna sahaja sekarang ini.. hubungi emel saya jika anda berminat.. butik_anda@yahoo.com
atau kunjungi
www.myspace.com/butik_anda
terima kasih.. =)

Saturday, May 23, 2009

Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati

Makanan adalah bahan asas untuk kehidupan dan kesihatan, namun begitu makanan juga punca kita mendapat penyakit. Kalau kita mempunyai tabiat makan yang buruk, kita sengaja mengundang penyakit.

Di zaman moden ini kita menghadapi cabaran kesihatan yang agak berat, susah untuk kita menjauhkan diri dari memakan makanan segera yang boleh membahayakan kesihatan kita. Makanan tersebut mengandungi bahan pengawet yang boleh menyebabkan penyakit seperti kanser. Kita juga selalu
makan di restoran makanan segera. Minyak yang digunakan untuk mengoreng diguna berulang-ulang kali, amalan ini sangat tidak baik untuk kesihatan.

Kita juga memakan daging dan ayam yang disuntik dengan hormon dan antibiotik. Hormon dan antibiotik ini akan berpindah ke badan kita. Bagaimana dengan sayur-sayuran dan buah-buahan? Buah-buahan dipetik sebelum masak dan dirawat menggunakan gas dan radiasi. Sayuran-sayuran disembur dengan racun serangga. Bahan-bahan kimia ini tidak akan hilang walau pun kita membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita makan. Ini semua membahayakan kesihatan. Tidak hairanlah kalau di zaman ini ramai orang yang mengidap kanser dan lain-lain penyakit kronik.

Bagimana pula dengan air yang kita minum? Adakah ia benar-benar bersih? Kalau anda mengambil air dari paip air di dapur anda dan mengujinya, anda mungkin tidak sanggup meminumnya.

Untuk menjaga kesihatan, kita seharusnya menjauhkan diri dari perkara yang dinyatakan di atas. Kurangkan memakan makanan segera, makan daging atau ayam kampung, makan sayur-sayuran hidrofonik dan buah-buah tempatan seperti manggis, rambutan dsb (yang bebas dari gas & radiasi).

Menurut pakar pemakanan bertauliah, untuk perlindungan dari penyakit, kita perlu mengambil makanan kesihatan atau suplemen seperti vitamin, mineral, serat dan asid amino. Vitamin A, C dan E kaya dengan antioksidan yang mampu menghapuskan "radikal bebas", ia-itu molekul tidak stabil yang terhasil dari proses dalam badan kita. Dalam tubuh kita terdapat beribu billion molekul yang membentuk sel, sel membentuk tisu, tisu membentuk organ. "Radikal bebas" merosakkan molekul, dan seterusnya sel akan rosak (termasuk sel sitem imun), selepas itu tisu dan lama kelamaan akan merosakkan organ kita.

Cegahlah penyakit sebelum terlambat. =)

Sunday, May 17, 2009

Sebab Allah haramkan babi

Sejak manusia pertama dijadikan sudah diperintahkan agar tidak memakan daging babi. Falsafahnya Allah SWT sukakan yang baik dan menyuruh manusia pilih yang baik. Oleh yang demikian Allah SWT melarang umat manusia daripada memakan perkara yang boleh mengundang mudarat kepada jiwa dan raga.

Setiap suatu yang ditegah daripada memakannya pasti ada sebab musababnya. Allah SWT tidak menjadi suatu itu haram, melainkan ada mudaratnya dan menjadikan sesuatu itu halal pasti ada manfaatnya.

Wabak yang sedang hebat menular dan berjangkit tanpa memberitahu kepada mangsa. Influenza A (H1N1) yang menjadi pembunuh senyap yang memulakan operasinya di Mexico kini sudah sampai ke negara jiran, Thailand.

Sebelum ini masyarakat Malaysia hanya menatap dan membaca serta mendengar mengenai virus ini di samping meluahkan rasa simpati kepada mangsa. Itu dua minggu lepas tetapi hari ini sudah berada tidak jauh dari rumah kita (Malaysia).

Seperti mana yang difahamkan oleh para saintis dan pakar-pakar perubatan bahawa virus ini merebak melalui udara, tidak semestinya di kampung kita ada babi baru boleh kena. Babi tak ada pun boleh kena, ini kerana udara yang membawanya.

Virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Persoalannya bagaimana manusia dijangkiti virus ini?

Jawapannya, manusia selalunya dijangkiti Influenza A (H1N1) melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus ini.

Namun ada juga kes yang dicatatkan di mana manusia yang dijangkiti virus ini tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan babi atau tiada kaitan dengan persekitarannya. Virus ini juga boleh berjangkit melalui manusia. Kalau begitu keadaannya, penyakit ini sudah ada vaksinnya? Jawapannya, setakat ini tiada vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus ini.

Islam mempunyai penyelesaiannya, Allah SWT yang menjadikan manusia dan yang menjadikan selain manusia telah mengharamkan secara qatie (pasti) bahawa daging babi tidak boleh dimakan.

Firmannya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173).

Ulasan Sayyid Qutub menarik minat saya untuk dikongsikan di sini, beliau menjelaskan: “Adapun persoalan mengenai memakan daging babi diperdebatkan oleh sekumpulan manusia... babi itu sendiri bersifat kotor dan menjijikkan jiwa yang menuntut kebersihan dan kesucian, sesungguhnya pada dagingnya, pada darahnya, dalam perutnya ada cacing-cacing yang sangat merbahaya.

Cacing yang sangat berbahaya

“Sedang manusia lupa bahawa ilmu mereka memerlukan tempoh yang cukup lama untuk mengesan satu kemudaratan daripadanya. Dalam masa yang sama siapa pula yang berani mendakwa tiada mudarat-mudarat lain yang membiak dan aktif dalam daging babi sedang belum diketahui oleh mereka yang bergelar pakar. Maka tidakkah mereka melihat bagaimana syariat Allah SWT mendahului kepakaran manusia sebelum puluhan kurun?” ( Sayyid Qutub, jld:1, hlm: 156).

Larangan ini juga termasuk menyentuh atau memegang binatang tersebut. Dunia perubatan pada hari ini telah membuktikan bahawa di dalam daging babi, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat berbahaya (cacing pita dan telur-telurnya yang keras) yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya syariat Allah SWT yang mendahului ilmu pengetahuan manusia.

Dalam surah yang sama Allah SWT mengajak manusia keseluruhannya supaya makan makanan yang halal lagi baik, firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168).

Seruan “Wahai manusia”, dalam ayat di atas memperlihatkan bahawa Allah SWT yang Maha Agung Pencipta segala sesuatu yang bersifat Rahman, menyeru agar siapa sahaja dia sama ada mukmin mahu pun kafir, Dialah Pencipta mereka dan Dialah yang menunjukkan kepada manusia yang mana harus dimakan dan yang mana tidak boleh dimakan.

Dan makanan yang dimakan itu mestilah sifatnya halal dan baik. Halal dari sudut hukum dan baik dari sudut zatnya.

Anehnya manusia suka mendekati yang haram yang jelas mendatangkan mudarat sedangkan yang halal cukup banyak. Ingatlah yang haram hanyalah sedikit dan yang halal itu tidak terhitung oleh manusia.

Friday, May 15, 2009

Alasan berbohong


Umumnya, wanita berbohong bukannya disebabkan mereka tiada arah tuju atau cuba mencipta sesuatu perkara yang tidak masuk fikiran. Terdapat beberapa alasan yang mendorong mereka melakukan hal ini.

1. Balas dendam

Sekiranya kamu berani mengkhianati cintanya, dia juga akan berani membalasnya. Bahkan, dia lebih hebat daripada kamu. Walaupun tindakannya itu telah diketahui, mungkin dia sengaja melakukan sedemikian. Ramai wanita mempunyai cara tersendiri saat menghadapi situasi pembohongan yang dilakukan kekasihnya. Malah, dia juga berani melakukannya dengan secara tersembunyi, tanpa pengetahuan kamu.

2. Urutan kasih

Wanita sememangnya menginginkan dirinya dicintai dan dihargai. Apatah lagi, mengharapkan sebuah percintaan yang tiada titik noktahnya. Lebih-lebih lagi daripada insan tersayang. Mereka ingin menjadi wanita pertama di dalam hidup kamu dan bukannya, berada di tangga kedua atau berikutnya. Sekali kamu menduakan cintanya, dia akan berkali-kali mengkhianati hidup kamu.

3. Kekerasan

Kini, ramai wanita semakin sedar tentang pentingnya penghargaan yang patut diterimanya. Salah satunya ialah bersikap tegas ketika pasangannya melakukan kekerasan (umumnya secara fizikal) kepadanya. Mungkin pada awalnya dia akan cuba bertahan, tetapi apabila kamu kembali mengulangi tindakan tersebut, mereka akan meninggalkan kamu tanpa sebaris nota. Mereka yakin, masih ramai lelaki di luar sana yang dapat menghargai dirinya yang jauh lebih baik daripada kamu.

4. Hambar

Wanita begitu gemar hal-hal yang remeh atau kecil. Misalnya, hari ulang tahunnya, hari jadi kamu berdua atau hal-hal istimewa lainnya. Hati-hati bila kamu menganggap semua ini sebagai hal yang remeh. Apatah lagi apabila selama ini, si dia selalu mengurus hal yang melibatkan pengorbanan demi kekasihnya.

Sekiranya, kamu tidak pernah sesekali menghargai apa yang dia lakukan untuk kamu dan mengabaikan hal-hal yang dianggapnya penting, bersiap sedialah menghadapi pertengkaran yang hebat.

5. Seks

Meskipun kamu tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap si dia, ketidakpuasan dalam urusan seks mampu memberi kesan yang mendalam terhadap perhubungan. Ingat, akibat kurangnya layanan seks, ia akan mendatangkan kesan bahaya dalam perkahwinan. Oleh itu, segeralah mencari jalan penyelesaiannya.

6. Cadangan

Saat putus cinta, biasanya kaum wanita lebih cepat 'menderita' ketika menghadapi hari-hari mendatang sebelum mampu bangkit semula untuk hidup gembira.

Ini kerana, sewaktu dia mendapat petunjuk bahawa perhubungan itu tidak dapat dipertahankan lagi, mungkin dia akan mencari pengganti kamu. Jadi, sekiranya kamu benar-benar mencintainya, perbaikilah hubungan kamu dengannya segera.

7. Jejaka bermasalah

Maksudnya, terdapat banyak perkara di sekeliling kamu yang membuatkan pasangan merasakan kamu tidak diperlukan lagi. Sebabnya, selain menjalani hubungan cinta yang sudah tentunya tidak lepas daripada kekangan masalah, kamu juga harus menangani karakter kekasih yang semakin berani. Ingat, dia bersikap sedemikian disebabkan kamu yang memulakannya dahulu.

8. Hubungan tiada kesudahan

Kebiasaannya, saat menjalani hubungan dengan pasangan, wanita menginginkan adanya hubungan yang penuh komitmen, iaitu hubungan yang diakhiri dengan keputusan membanggakan.

Apabila sudah lama menjalin hubungan cinta, tetapi tiada keputusan untuk ke jinjang pelamin, wanita akan berfikir bahawa kamu tidak lagi menginginkan dia dalam hidupnya. Jadi, buat apa menunggu kamu dengan lebih lama?

9. Bosan

Hal ini muncul disebabkan dia terperangkap dalam rutin hariannya sama ada kerja rumah mahupun hubungan yang dijalinkan itu begitu membosankan.

Baginya, jika kamu tidak memberinya perhatian yang diharapkan dan waktu kamu pula lebih banyak dihabiskan untuk urusan lain, biasanya wanita akan mencari jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Perlu diingatkan bahawa wanita gemarkan suatu kejutan dan selalu ingin dirinya lebih istimewa.

10. Hubungan tidak diduga

Pada awalnya, dia berasa terlalu selesa saat menjalin hubungan dengan kamu. Tetapi ternyata, dia tidak menikmati kehangatan bersama dan terasa begitu terikat dengan kamu. Tidak hairanlah apabila kamu masih cuba membawanya ke sana dan ke sini, dia mula bersikap dingin kerana sudah menyerahkan seluruh perasaannya kepada insan lain.

Tuesday, March 17, 2009

AWAS ! Kepada Penggemar Nasi Lemak dan Teh Tarik

NASI LEMAK secara tidak rasminya sudah menjadi hidangan wajib bagi orang Melayu.Tiada yang boleh mengatasi keenakan nasi putih yang wangi baunya, dimasak dengan santan kelapa dan dibungkus dalam daun pisang serta diperlazatkan lagi dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, telur dan timun yang menyelerakan.

Setelah itu ia disudahi dengan tegukan segelas teh tarik – teh yang manis bersusu. Teh tarik juga secara kebetulan menjadi minuman tidak rasmi bagi rakyat Malaysia. Tetapi malangnya, mengambil nasi lemak dan teh tarik untuk sarapan pagi setiap hari bukan suatu pilihan yang terbaik dari segi kesihatan. Bacalah seterusnya…

Apa yang terjadi kepada nasi putih dalam badan kita? Sebaik sahaja ia dimakan, nasi putih akan ditukarkan menjadi glukosa dan akan diserap dengan cepatnya ke saluran darah. Sebarang peningkatan gula darah akan memberi isyarat kepada pankreas untuk mengeluar dan melepaskan insulin. Hormon ini akan mengarahkan sel-sel untuk mengusap glukosa. Tanpa insulin, glukosa akan hanyut terapung-apung di sekitar aliran darah, tidak dapat memasuki ke dalam sel-sel yang memerlukannya. Diabetes akan muncul apabila badan tidak dapat mengeluarkan insulin dengan cukup atau tidak dapat menggunakannya dengan baik.

Nasi putih mengandungi apa yang dikenali sebagai Indeks Glisemik (GI) yang tinggi. Ini bermakna ia akan menyebabkan peningkatan paras gula darah dan insulin secara berlanjutan. Karbohidrat yang tidak begitu mudah dihadamkan akan menyebabkan peningkatan gula darah dan insulin yang lebih rendah dan lebih perlahan. Dengan itu, ia memberi kurang tekanan terhadap jentera pembuat insulin dalam badan kita serta membantu mencegah diabetes jenis 2. Makanan-makanan seperti ini dikatakan mempunyai Indeks Glisemik yang rendah. Contohnya termasuklah gandum asli lengkap, beras perang, lain-lain jenis bijirin yang lengkap, dan kebanyakan kacang dan kekacang.

Sel-sel kita bergantung kepada satu gula tunggal ringkas iaitu glukosa, yang sebahagian besar diperlukan oleh sel-sel berkenaan untuk membina tenaga. Badan kita mempunyai mekanisme yang rumit untuk memastikan paras glukosa dalam aliran darah tidak menurun terlampau rendah atau melambung naik terlampau tinggi. Glukosa datangnya daripada pencernaan sukrosa (gula biasa) dan juga daripada karbohidrat seperti nasi, roti, ubi kentang, roti canai, dan lain-lain.

Jenis-jenis diabetes :

Satu bentuk diabetes akan berlaku apabila sistem imun menyerang dan melumpuhkan buat selama-lamanya sel-sel pembuat insulin dalam pankreas...Ini dikenali sebagai diabetes 'jenis 1' yang pada suatu ketika dahulu dikenali sebagai permulaan juvana (juvenile onset) ataupun diabetes bergantung insulin.

Satu bentuk lagi, iaitu dari jenis yang suka menjalar dalam badan manusia, dan ia mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang menjadi penyakit diabetes sepenuhnya. Ia bermula apabila otot dan sel-sel lain berhenti memberi tindak balas terhadap isyarat buka pintu untuk glukosa yang diberikan oleh insulin. Badan bertindak balas dengan membuat lebih banyak lagi insulin, sebenarnya ia cuba menggasak dan memaksa gula darah ke dalam sel-sel. Akhirnya, sel-sel pembuat insulin menjadi lemah dan mengalami kegagalan. Ini dikenali sebagai diabetes 'jenis 2' dan dihidapi oleh 90% pesakit diabetes dunia. Setiap 10 saat, seorang mati akibat punca yang berkait diabetes dan ianya penyakit penyebab kematian yang keempat tertinggi di dunia.

Mereka yang menghidapi pradiabetes mempunyai paras glukosa darah yang lebih tinggi daripada normal tetapi tidak cukup tinggi untuk disahkan sebagai pesakit diabetes sepenuhnya. Penghidap pradiabetes mempunyai paras glukosa 6.1 hingga kurang daripada 7mmol/l. Pada paras ini ia mengisyaratkan wujud risiko tinggi untuk menghidapi diabetes Jenis 2 dalam masa 10 tahun yang berikutnya.

Sama ada pradiabetes akan berkembang menjadi diabetes jenis 2 sepenuhnya, sebahagian besarnya bergantung kepada individu itu sendiri yang seharusnya mengambil perhatian terhadap berat badan dan kegiatan senaman. Cara pemakanan bukan sahaja dapat mencegah pradiabetes daripada menjadi diabetes, tetapi juga dapat mengembalikan semula paras glukosa darah ke julat yang normal. Hakikatnya, komplikasi berpunca diabetes seperti penyakit arteri koronari dan penyakit vaskular periferi, strok, neuropati diabetes, amputasi, kegagalan ginjal dan buta kini kian meningkat.

Langkah-langkah pemantauan yang mudah:

Dengan melakukan beberapa perubahan boleh mengurangkan secara mendadak kemungkinan untuk menghidapi diabetes jenis 2.
Contoh-contohnya termasuklah:

1. Kawal berat badan anda. Berat badan berlebihan merupakan satu penyebab yang paling penting bagi diabetes jenis 2.
Mempunyai berat badan berlebihan akan meningkatkan tujuh kali ganda kemungkinan untuk menghidapi diabetes jenis 2...
Berbadan gemuk akan membuatkan anda 20 hingga 40 kali lebih berkemungkinan untuk menghidapi diabetes berbanding dengan mempunyai berat badan yang ideal dan sihat.
Mengurangkan berat badan boleh membantu sekiranya berat badan anda berada di atas paras berat badan yang sihat.
Mengurangkan 7 hingga 10 peratus daripada berat badan anda sekarang dapat menurunkan separuh kemungkinan untuk anda menghidapi diabetes jenis 2.
Bertindak sekarang. Ketidakaktifan menggalakkan diabetes jenis 2.
Bagi setiap dua jam anda duduk menonton TV selain daripada melakukan kegiatan aktif lain, akan meningkatkan kemungkinan untuk menghidapi diabetes sebanyak 14 peratus...

2. Menggiatkan otot-otot anda dengan kerap dan membuatkannya bekerja lebih keras akan meningkatkan keupayaannya untuk menggunakan insulin dan menyerap glukosa. Ini akan mengurangkan tekanan ke atas sel-sel pembuat insulin anda.

3. Perbaiki cara pemakanan anda. Perubahan terhadap cara pemakanan boleh mendatangkan kesan yang besar terhadap risiko diabetes jenis 2..
Pilihlah produk yang berbijirin lengkap berbanding karbohidrat yang diproses seperti nasi putih, roti putih, roti canai, kuih-muih, dan lain-lain.
Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Lagi banyak warna lagi baik.

4. Kurangkan pengambilan gula yang bertapis (gula putih). Apabila minum teh tarik, minta kurangkan gula atau kurangkan minum teh tarik.

5. Suplemen-suplemen nutrisi. Membekalkan pesakit diabetes dan pradiabetes dengan nutrien-nutrien penting terbukti dapat memperbaiki pengawalan gula di samping mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi-komplikasi diabetes.

Tuesday, October 28, 2008

Agar diri dicintai

FITRAH kehidupan, manusia memiliki sifat-sifat yang dikagumi sehingga membuatkan diri mudah didampingi dan disanjung tinggi oleh insan lain.

Setiap perkara yang ditempuhi dalam rutin kehidupan mematangkan fikiran.
Dengan tutur kata yang sopan, bijak berkomunikasi dan mempunyai pemikiran yang matang, sememangnya menjadi pakej diri kamu disenangi ramai. Kongsi tip agar diri mudah dicintai.

* Positif
Menerusi buku The Secret, terbitan Rhonda Byrne, setiap perkara baik seharusnya bermula dengan sikap positif. Mula berprasangka baik terhadap insan lain sehinggalah membuatkan diri kamu sentiasa berfikiran positif walau apa jua perkara yang dilakukan.
Sikap positif itu akan terpancar umpama daya tarikan magnet, yang akan menarik orang di sekeliling untuk mendekati diri kamu.

* Ceria
Berada berhampiran dengan orang yang memiliki sifat periang sememangnya membuatkan diri kamu lupa sejenak bebanan masalah yang bersarang di kotak fikiran. Kehadiran si penceria senantiasa dinanti-nantikan. Di saat kamu tersenyum, tubuh akan merangsang hormon yang dapat menghilang stres.
Jadi, sentiasalah tersenyum untuk menikmati perasaan ceria.

* Ramah
Saat bertemu dengan insan yang baru dikenali, mereka yang memiliki sikap ramah tidak akan berasa ragu untuk melemparkan senyuman mahupun menyapa.
Sikap ramah biasanya mendatangkan kesan positif kerana ia akan membuatkan orang yang bersemuka dengan kamu berasa dirinya diterima dan dihargai.
Jangan ragu untuk mengawal interaksi dengan orang lain. Mula berlatih berbicara secara langsung menerusi talian telefon dengan orang lain, jika impikan keramahan itu.

* Ringan tangan
Kualiti seorang rakan akan dinilai menerusi bantuan yang dihulurkan. Jangan menunggu permintaan seseorang dalam mengharapkan bantuan.
Jika berada dalam posisi tersebut, kamu tentunya mudah menawarkan bantuan saat mereka memerlukan.

* Rendah hati
Berbeza dengan sikap rendah diri yang merupakan suatu kelemahan, rendah hati mengungkapkan satu kekuatan yang ada pada diri. Hanya orang yang kuat jiwanya sahaja yang bersikap rendah hati. Ia seperti padi yang semakin berisi, makin menunduk.

* Percaya diri
Orang yang mempercayai diri sendiri kebiasaannya sering merasakan dirinya nyaman dan tidak pernah berasa dirinya terancam dengan situasi atau orang-orang di sekeliling. Itu bermakna, aura tenang akan terpancar dari dalam dirinya sehingga mampu menarik perhatian orang di sekeliling. Dalam dunia ini, tiada seorang pun yang memiliki sifat serupa dengan yang lain. Jadi, jangan ragu untuk menampilkan keunikan diri kamu itu.

* Pemaaf
Dendam dan iri hati adalah salah satu ciri penyakit hati yang begitu kronik dan sering datang menyerang.
Selain dapat mencemar hubungan, penyakit ini juga akan membuat perasaan kamu menjadi tidak nyaman.
Seseorang yang lapang hati akan sentiasa merasa bahagia. Jangan hanya mengangguk ketika menerima ungkapan maaf dari orang lain. Lebih penting, kamu seharusnya menghapus segala kesalahan tersebut dari benak fikiran dan hati kamu.

* Jujur
Kata orang, harga kejujuran lebih mahal daripada emas. Cuba bayangkan bagaimana sekiranya teman kamu hobinya adalah bohong. Selain akan menimbulkan salah faham, ia juga akan merugikan orang lain. Maknanya, jangan hairan apabila orang jujur dicintai semua orang.

****Orang yang dicintai adalah peribadi yang disenangi, dirindui dan membuatkan orang lain bahagia saat berada di sisinya. =)