Saturday, May 23, 2009

Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati

Makanan adalah bahan asas untuk kehidupan dan kesihatan, namun begitu makanan juga punca kita mendapat penyakit. Kalau kita mempunyai tabiat makan yang buruk, kita sengaja mengundang penyakit.

Di zaman moden ini kita menghadapi cabaran kesihatan yang agak berat, susah untuk kita menjauhkan diri dari memakan makanan segera yang boleh membahayakan kesihatan kita. Makanan tersebut mengandungi bahan pengawet yang boleh menyebabkan penyakit seperti kanser. Kita juga selalu
makan di restoran makanan segera. Minyak yang digunakan untuk mengoreng diguna berulang-ulang kali, amalan ini sangat tidak baik untuk kesihatan.

Kita juga memakan daging dan ayam yang disuntik dengan hormon dan antibiotik. Hormon dan antibiotik ini akan berpindah ke badan kita. Bagaimana dengan sayur-sayuran dan buah-buahan? Buah-buahan dipetik sebelum masak dan dirawat menggunakan gas dan radiasi. Sayuran-sayuran disembur dengan racun serangga. Bahan-bahan kimia ini tidak akan hilang walau pun kita membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran yang kita makan. Ini semua membahayakan kesihatan. Tidak hairanlah kalau di zaman ini ramai orang yang mengidap kanser dan lain-lain penyakit kronik.

Bagimana pula dengan air yang kita minum? Adakah ia benar-benar bersih? Kalau anda mengambil air dari paip air di dapur anda dan mengujinya, anda mungkin tidak sanggup meminumnya.

Untuk menjaga kesihatan, kita seharusnya menjauhkan diri dari perkara yang dinyatakan di atas. Kurangkan memakan makanan segera, makan daging atau ayam kampung, makan sayur-sayuran hidrofonik dan buah-buah tempatan seperti manggis, rambutan dsb (yang bebas dari gas & radiasi).

Menurut pakar pemakanan bertauliah, untuk perlindungan dari penyakit, kita perlu mengambil makanan kesihatan atau suplemen seperti vitamin, mineral, serat dan asid amino. Vitamin A, C dan E kaya dengan antioksidan yang mampu menghapuskan "radikal bebas", ia-itu molekul tidak stabil yang terhasil dari proses dalam badan kita. Dalam tubuh kita terdapat beribu billion molekul yang membentuk sel, sel membentuk tisu, tisu membentuk organ. "Radikal bebas" merosakkan molekul, dan seterusnya sel akan rosak (termasuk sel sitem imun), selepas itu tisu dan lama kelamaan akan merosakkan organ kita.

Cegahlah penyakit sebelum terlambat. =)

Sunday, May 17, 2009

Sebab Allah haramkan babi

Sejak manusia pertama dijadikan sudah diperintahkan agar tidak memakan daging babi. Falsafahnya Allah SWT sukakan yang baik dan menyuruh manusia pilih yang baik. Oleh yang demikian Allah SWT melarang umat manusia daripada memakan perkara yang boleh mengundang mudarat kepada jiwa dan raga.

Setiap suatu yang ditegah daripada memakannya pasti ada sebab musababnya. Allah SWT tidak menjadi suatu itu haram, melainkan ada mudaratnya dan menjadikan sesuatu itu halal pasti ada manfaatnya.

Wabak yang sedang hebat menular dan berjangkit tanpa memberitahu kepada mangsa. Influenza A (H1N1) yang menjadi pembunuh senyap yang memulakan operasinya di Mexico kini sudah sampai ke negara jiran, Thailand.

Sebelum ini masyarakat Malaysia hanya menatap dan membaca serta mendengar mengenai virus ini di samping meluahkan rasa simpati kepada mangsa. Itu dua minggu lepas tetapi hari ini sudah berada tidak jauh dari rumah kita (Malaysia).

Seperti mana yang difahamkan oleh para saintis dan pakar-pakar perubatan bahawa virus ini merebak melalui udara, tidak semestinya di kampung kita ada babi baru boleh kena. Babi tak ada pun boleh kena, ini kerana udara yang membawanya.

Virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Persoalannya bagaimana manusia dijangkiti virus ini?

Jawapannya, manusia selalunya dijangkiti Influenza A (H1N1) melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus ini.

Namun ada juga kes yang dicatatkan di mana manusia yang dijangkiti virus ini tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan babi atau tiada kaitan dengan persekitarannya. Virus ini juga boleh berjangkit melalui manusia. Kalau begitu keadaannya, penyakit ini sudah ada vaksinnya? Jawapannya, setakat ini tiada vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus ini.

Islam mempunyai penyelesaiannya, Allah SWT yang menjadikan manusia dan yang menjadikan selain manusia telah mengharamkan secara qatie (pasti) bahawa daging babi tidak boleh dimakan.

Firmannya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 173).

Ulasan Sayyid Qutub menarik minat saya untuk dikongsikan di sini, beliau menjelaskan: “Adapun persoalan mengenai memakan daging babi diperdebatkan oleh sekumpulan manusia... babi itu sendiri bersifat kotor dan menjijikkan jiwa yang menuntut kebersihan dan kesucian, sesungguhnya pada dagingnya, pada darahnya, dalam perutnya ada cacing-cacing yang sangat merbahaya.

Cacing yang sangat berbahaya

“Sedang manusia lupa bahawa ilmu mereka memerlukan tempoh yang cukup lama untuk mengesan satu kemudaratan daripadanya. Dalam masa yang sama siapa pula yang berani mendakwa tiada mudarat-mudarat lain yang membiak dan aktif dalam daging babi sedang belum diketahui oleh mereka yang bergelar pakar. Maka tidakkah mereka melihat bagaimana syariat Allah SWT mendahului kepakaran manusia sebelum puluhan kurun?” ( Sayyid Qutub, jld:1, hlm: 156).

Larangan ini juga termasuk menyentuh atau memegang binatang tersebut. Dunia perubatan pada hari ini telah membuktikan bahawa di dalam daging babi, darah dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat berbahaya (cacing pita dan telur-telurnya yang keras) yang boleh mendatangkan penyakit kepada manusia.

Inilah hikmah pengharaman ke atas binatang tersebut. Di sini telah terbukti betapa agungnya syariat Allah SWT yang mendahului ilmu pengetahuan manusia.

Dalam surah yang sama Allah SWT mengajak manusia keseluruhannya supaya makan makanan yang halal lagi baik, firman-Nya yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168).

Seruan “Wahai manusia”, dalam ayat di atas memperlihatkan bahawa Allah SWT yang Maha Agung Pencipta segala sesuatu yang bersifat Rahman, menyeru agar siapa sahaja dia sama ada mukmin mahu pun kafir, Dialah Pencipta mereka dan Dialah yang menunjukkan kepada manusia yang mana harus dimakan dan yang mana tidak boleh dimakan.

Dan makanan yang dimakan itu mestilah sifatnya halal dan baik. Halal dari sudut hukum dan baik dari sudut zatnya.

Anehnya manusia suka mendekati yang haram yang jelas mendatangkan mudarat sedangkan yang halal cukup banyak. Ingatlah yang haram hanyalah sedikit dan yang halal itu tidak terhitung oleh manusia.

Friday, May 15, 2009

Alasan berbohong


Umumnya, wanita berbohong bukannya disebabkan mereka tiada arah tuju atau cuba mencipta sesuatu perkara yang tidak masuk fikiran. Terdapat beberapa alasan yang mendorong mereka melakukan hal ini.

1. Balas dendam

Sekiranya kamu berani mengkhianati cintanya, dia juga akan berani membalasnya. Bahkan, dia lebih hebat daripada kamu. Walaupun tindakannya itu telah diketahui, mungkin dia sengaja melakukan sedemikian. Ramai wanita mempunyai cara tersendiri saat menghadapi situasi pembohongan yang dilakukan kekasihnya. Malah, dia juga berani melakukannya dengan secara tersembunyi, tanpa pengetahuan kamu.

2. Urutan kasih

Wanita sememangnya menginginkan dirinya dicintai dan dihargai. Apatah lagi, mengharapkan sebuah percintaan yang tiada titik noktahnya. Lebih-lebih lagi daripada insan tersayang. Mereka ingin menjadi wanita pertama di dalam hidup kamu dan bukannya, berada di tangga kedua atau berikutnya. Sekali kamu menduakan cintanya, dia akan berkali-kali mengkhianati hidup kamu.

3. Kekerasan

Kini, ramai wanita semakin sedar tentang pentingnya penghargaan yang patut diterimanya. Salah satunya ialah bersikap tegas ketika pasangannya melakukan kekerasan (umumnya secara fizikal) kepadanya. Mungkin pada awalnya dia akan cuba bertahan, tetapi apabila kamu kembali mengulangi tindakan tersebut, mereka akan meninggalkan kamu tanpa sebaris nota. Mereka yakin, masih ramai lelaki di luar sana yang dapat menghargai dirinya yang jauh lebih baik daripada kamu.

4. Hambar

Wanita begitu gemar hal-hal yang remeh atau kecil. Misalnya, hari ulang tahunnya, hari jadi kamu berdua atau hal-hal istimewa lainnya. Hati-hati bila kamu menganggap semua ini sebagai hal yang remeh. Apatah lagi apabila selama ini, si dia selalu mengurus hal yang melibatkan pengorbanan demi kekasihnya.

Sekiranya, kamu tidak pernah sesekali menghargai apa yang dia lakukan untuk kamu dan mengabaikan hal-hal yang dianggapnya penting, bersiap sedialah menghadapi pertengkaran yang hebat.

5. Seks

Meskipun kamu tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya terhadap si dia, ketidakpuasan dalam urusan seks mampu memberi kesan yang mendalam terhadap perhubungan. Ingat, akibat kurangnya layanan seks, ia akan mendatangkan kesan bahaya dalam perkahwinan. Oleh itu, segeralah mencari jalan penyelesaiannya.

6. Cadangan

Saat putus cinta, biasanya kaum wanita lebih cepat 'menderita' ketika menghadapi hari-hari mendatang sebelum mampu bangkit semula untuk hidup gembira.

Ini kerana, sewaktu dia mendapat petunjuk bahawa perhubungan itu tidak dapat dipertahankan lagi, mungkin dia akan mencari pengganti kamu. Jadi, sekiranya kamu benar-benar mencintainya, perbaikilah hubungan kamu dengannya segera.

7. Jejaka bermasalah

Maksudnya, terdapat banyak perkara di sekeliling kamu yang membuatkan pasangan merasakan kamu tidak diperlukan lagi. Sebabnya, selain menjalani hubungan cinta yang sudah tentunya tidak lepas daripada kekangan masalah, kamu juga harus menangani karakter kekasih yang semakin berani. Ingat, dia bersikap sedemikian disebabkan kamu yang memulakannya dahulu.

8. Hubungan tiada kesudahan

Kebiasaannya, saat menjalani hubungan dengan pasangan, wanita menginginkan adanya hubungan yang penuh komitmen, iaitu hubungan yang diakhiri dengan keputusan membanggakan.

Apabila sudah lama menjalin hubungan cinta, tetapi tiada keputusan untuk ke jinjang pelamin, wanita akan berfikir bahawa kamu tidak lagi menginginkan dia dalam hidupnya. Jadi, buat apa menunggu kamu dengan lebih lama?

9. Bosan

Hal ini muncul disebabkan dia terperangkap dalam rutin hariannya sama ada kerja rumah mahupun hubungan yang dijalinkan itu begitu membosankan.

Baginya, jika kamu tidak memberinya perhatian yang diharapkan dan waktu kamu pula lebih banyak dihabiskan untuk urusan lain, biasanya wanita akan mencari jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Perlu diingatkan bahawa wanita gemarkan suatu kejutan dan selalu ingin dirinya lebih istimewa.

10. Hubungan tidak diduga

Pada awalnya, dia berasa terlalu selesa saat menjalin hubungan dengan kamu. Tetapi ternyata, dia tidak menikmati kehangatan bersama dan terasa begitu terikat dengan kamu. Tidak hairanlah apabila kamu masih cuba membawanya ke sana dan ke sini, dia mula bersikap dingin kerana sudah menyerahkan seluruh perasaannya kepada insan lain.